Ahad, 5 Jun 2016 | 9:31am

Proses penamaan calon Sg Besar bermula 9 pagi


PEGAWAI Pengurus Pilihan Raya, Mohd Khairuddin Md Som mengumumkan masa penyerahan borang pencalonan dibuka selama satu jam mulai jam 9 pagi.

SUNGAI BESAR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar bermula pada 9 pagi ini di Dewan Seri Bernam, di sini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Khairuddin Md Som mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRK ini.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon.

PAS pula menamakan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur dipilih sebagai calon Pakatan Harapan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian. - BERNAMA

Berita Harian X