Ahad, 5 Jun 2016 | 8:38am

Pusat penamaan calon Sg Besar, Kuala Kangsar dibuka pagi ini


ANGGOTA polis mengawal pintu masuk pusat penamaan calon di Dewan Seri Budiman, Sabak Bernam.

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak bermula pagi ini.

Pusat penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu dibuka dari 9 pagi sehingga 10 pagi.

Bagi PRK Sungai Besar, proses penamaan calon diadakan di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam dan bagi PRK Kuala Kangsar, ia diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon bagi kerusi Sungai Besar dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bagi kerusi Kuala Kangsar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Parlimen Kuala Kangsar pula mempunyai 32,949 pengundi mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lepas. - BERNAMA

Berita Harian X