Ahad, 5 Jun 2016 | 7:29am

PRK Kuala Kangsar: Penyokong parti mula berhimpun


ANGGOTA polis meletak penghadang di laluan masuk ke Dewan Jubli Perak, sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kumpulan penyokong parti politik yang bertanding berhimpun disatu kawasan sama. - foto NSTP

KUALA KANGSAR : Kira-kira 500 penyokong parti politik mula membanjiri pekarangan Dewan Jubli Perak, di sini, sempena penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, pagi ini.

Selain penyokong parti dibahagikan lokasi berhimpun bagi mengelak provokasi yang mampu mencetuskan perbalahan, anggota polis turut ditugaskan bagi meningkatkan tahap penguatkuasaan keselamatan di kawasan sekitar.

Beberapa laluan berhampiran dewan penamaan juga ditutup, bagi membolehkan kelancaran proses penamaan calon serta perarakan masuk calon bersama penyokong, yang menjadi kelaziman dilakukan setiap parti bertanding.

Pegawai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan proses penamaan calon juga tiba di pusat penamaan pada jam 7.20 pagi tadi.

Pusat penamaan dijadual dibuka selama sejam bermula 9 pagi ini bagi membolehkan setiap calon bertanding atau wakilnya bersama pencadang dan penyokong, mengemukakan borang pencalonan kepada pegawai SPR.

SPR Perak memaklumkan setakat semalam, tiga borang pencalonan sudah dibeli menjelang hari penamaan calon PRK, pagi ini.

Berdasarkan pengumuman calon oleh parti, PRK Kuala Kangsar dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) diwakili Datin Mastura Mohd Yazid; calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad serta calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.

SPR menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menang dengan majoriti 1,082 undi.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK kali ini mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lalu.

Berita Harian X