Sabtu, 4 Jun 2016 | 11:06pm

Aktivis Fahmi Reza ditahan jual baju T persenda PM

KUALA LUMPUR: Aktivis Fahmi Reza ditahan polis petang tadi selepas didakwa menghasut dengan menjual baju T #KitaSemuaPenghasut yang mempunyai lakaran badut berwajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, Fahmi ditahan bersama tiga yang lain ketika menjual baju itu di sebuah gerai yang dibuka sempena program KL Alternative Bookfest (KLAB) di Publika, Sri Hartamas.


FAHMI Reza.

Difahamkan juga, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948. Fahmi menerusi akaun Facebooknya sebelum itu turut memuat naik status mendakwa didatangi beberapa anggota polis yang merampas barangan yang dijual di gerai berkenaan.

"Aku dalam perjalanan dari Publika ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul dalam kereta polis untuk disoalsiasat kerana menjual t-shirt #KitaSemuaPenghasut semasa acara #KLAB2016 tadi. 5-6 orang pegawai polis datang booth aku tadi.

"Mereka rampas kad pengenalan aku, 2 helai t-shirt Penghasut dari beg aku dan juga sepanduk lukisan muka badut. Menurut polis aku disiasat bawah Akta Hasutan.

"Aku dalam keadaan selamat. Dah sampai balai polis sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan empat individu terbabit.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut.

36 dibaca
Berita Harian X