Khamis, 6 November 2014 | 1:54pm
Pengarah MAS yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

27 sen seunit saham MAS memang wajar - Irwan Serigar

SUBANG: Pemegang saham perlu menerima tawaran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk membeli semua baki saham tidak dimilikinya dalam Penerbangan Malaysia (MAS) pada 27 sen seunit kerana ia adalah nilaian yang wajar.

Pengarah MAS yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berkata Khazanah komited untuk merealisasikan pelan penyusunan semula syarikat penerbangan nasional itu.

"27 sen adalah nilaian wajar. Lebih baik terima daripada membiarkan syarikat (MAS) masuk dalam senarai PN17 (syarikat bermasalah kewangan)," katanya ditemui selepas berakhirnya mesyuarat agung luar biasa (EGM) MAS di sini sebentar tadi.

Lebih 1,000 hadir dalam EGM itu yang mana 560 adalah pemegang saham minoriti. Ketika ini undi sedang dikira dan MAS akan mengeluarkan kenyataan media berhubung keputusan pengundian itu nanti.

Irwan menyertai lembaga pengarah sejajar dengan kepentingan kerajaan sebagai pemegang saham emas atau penentu dalam MAS.

Pemegang saham minoriti mengundi hari ini dalam EGM MAS berhubung cadangan Khazanah untuk membuat program pengurangan modal berpilih (SCR) MAS dan mengeluarkan penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

SCR adalah sebahagian penting program pemulihan menyeluruh MAS membabitkan 12 perkara yang diumumkan Khazanah 29 Ogos lalu.

Khazanah perlukan sokongan yang mewakili sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan saham dan 75 peratus daripada nilai untuk membolehkan SCR itu diteruskan. Khazanah juga perlukan 90 peratus persetujuan daripada pemegang saham untuk membolehkan penyenaraian MAS dikeluarkan daripada Bursa Malaysia.

Sementara itu, pemegang saham minoriti yang ditemui ada yang bersetuju dengan cadangan Khazanah, ada yang berkecuali malah ada yang menentang terutama berhubung harga tawaran rendah berbanding harga pelaburan mereka sebelum ini.

Ada yang marah dan mempertikaikan kemampuan pengurusan MAS sehingga syarikat penerbangan nasional itu menghadapi masalah kewangan serius.

Malah, ada pemegang saham minoriti yang berang dengan situasi semasa, memukul kamera jurugambar media apabila gambar mereka dirakamkan ketika keluar daripada EGM itu.

13 dibaca
Berita Harian X