Sabtu, 4 Jun 2016 | 10:07pm

Jentera BN jangan timbulkan masalah dalaman ketika kempen


NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Mohd Zambry Abd Kadir (kiri) dan Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il (kanan), anak kepada calon BN, Mastura Mohd Yazid ketika hadir meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Parlimen Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Danial Saad

KUALA KANGSAR: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar diingatkan supaya tidak menimbulkan masalah dalaman parti ketika berkempen dalam memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, biarlah masalah yang membelenggu pembangkang kekal menjadi masalah mereka.

"Yang penting jangan timbulkan masalah dalam 'rumah tangga' dan pastikan jentera bergerak secara berfokus dan berikan tumpuan.

"Tumpuan bukan saja membabitkan bahagian Kuala Kangsar tetapi juga bahagian angkat dan negeri angkat yang sudah diberikan amanah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chandan di Pusat Operasi Pilihan Raya BN di sini sebentar tadi.

Yang hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, kini tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul setiap ahli jentera pilihan raya perlu ditunaikan dengan ikhlas dan setulus hati bagi membolehkan pengundi menilai sama ada jentera jujur dalam memastikan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid menang.

"Saya juga ingin mengingatkan jentera supaya tidak terikut dengan sentimen dan cerita tertentu kerana kita hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk meyakinkan rakyat dan memenangkan calon," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada ketidakhadiran calon ketika berkempen kerana terikat dengan tempoh edah, beliau berkata perkara itu tidak akan menjejaskan sokongan terhadap BN.

Katanya, calon BN sememangnya cukup dikenali masyarakat Kuala Kangsar dan banyak membantu masyarakat di sini.

"Saya kenal arwah (Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) secara peribadi dan yakin, Datin Mastura boleh meneruskan legasi perjuangan arwah suaminya," katanya.

Berita Harian X