Sabtu, 4 Jun 2016 | 6:51pm

29 borang pencalonan dibeli bagi 2 PRK


MOHD Hashim (kiri) ketika meninjau persiapan proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

SUNGAI BESAR: Sebanyak 16 borang pencalonan dibeli bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, manakala 13 lagi bagi PRK Sungai Besar sehingga menjelang hari penamaan calon esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, bagaimanapun berkata ia bukan bermakna akan berlaku pertembungan ramai calon dalam kedua-kedua PRK itu.

"Ini hanya borang yang dibeli, tetapi calonnya belum tentu ramai. Walau apa pun, tidak kira sama ada PRK ini akan menyaksikan persaingan antara berapa ramai calon sekali pun, kita harap proses penamaan calon akan berjalan dengan lancar.

"Kita juga meminta penyokong mematuhi setiap arahan yang ditetapkan oleh SPR," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam, di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata, seramai 42,655 pengundi akan mengundi pada PRK Sungai Besar, manakala PRK Kuala Kangsar seramai 32,949 pengundi.

"Kita menjangkakan kesesakan akan berlaku esok kerana ada jalan akan ditutup. Jadi, calon diminta datang lebih awal untuk mengelak berlakunya masalah," katanya.

Berita Harian X