Sabtu, 4 Jun 2016 | 5:38pm

Memey masih mahu berlakon


PELAKON, Memey Suhaiza bersama suami, Norman Hakim. - Foto Nashairi Mohd Nawi

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza masih belum bersedia meletakkan noktah pada dunia lakonan, meskipun tawaran yang diterimanya tidak lagi sehebat dulu.

Memey berkata, lakonan tetap akan diteruskan meskipun ketika ini, fokusnya lebih terarah kepada rumah tangga dan perniagaan busana Muslimah, Melyana. Selepas melahirkan anak kedua pada 9 April tahun lalu, isteri kepada Norman Hakim itu sempat menjayakan tiga telefilem.

"Saya masih lagi berlakon, tetapi tidak sekerap dulu kerana komitmen terhadap keluarga dan perniagaan. Sesekali apabila terbit perasaan rindu dan tawaran pula bersesuaian, saya akan berlakon. Bukan selektif, cuma masa terbatas kerana saya banyak tanggungjawab lain.

"Alhamdulillah, kebanyakan watak yang diberikan bersesuaian dengan penampilan saya yang sudah berhijab. Saya tiada masalah untuk watak, cuma masa dan lokasi penggambaran membuatkan saya terpaksa berfikir panjang sebelum menerima sesuatu tawaran," katanya.

Memey berkata, suaminya tidak pernah menghalang minatnya malah sentiasa memberi dorongan jika ingin meneruskan kerjaya seninya. Cuma Memey memilih untuk memperlahankan rentak lakonannya, terutama apabila Ramadan semakin mendekati.

"Sebelum menyambut puasa, saya cuba selesaikan semua urusan termasuk berkaitan perniagaan. Sepanjang Ramadan ini, saya ingin berehat dan meluangkan lebih masa bersama keluarga kerana sebelum ini, sudah terlalu sibuk dengan pelbagai urusan," katanya.

Menyentuh mengenai dunia perniagaan, Memey yang memiliki butik di Dataran Wangsa Melawati, Kuala Lumpur sejak Ogos lalu bersyukur apabila usahanya itu membuahkan pulangan selesa.

"Sebelum ini, saya hanya mencuba perniagaan dalam talian dan sambutannya tidak menghampakan. Hampir setahun membuka butik, saya gembira apabila jenama ini semakin kukuh dan berkembang. Saya juga tidak menyangka, produk yang ditawarkan termasuk di talian mendapat sambutan hebat.

"Permintaan semakin tinggi, terutama apabila umat Islam mula membuat persiapan menyambut Ramadan dan hari raya. Pada mulanya, saya bimbang untuk menghasilkan pakaian dan tudung dalam kuantiti besar kerana masih belum pasti dengan penerimaan pelanggan.

"Selepas memperkenalkannya secara talian dan di butik, saya bersyukur kerana semakin ramai yang mempercayai jenama ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri oleh Bianco Mimosa.

Berita Harian X