Sabtu, 4 Jun 2016 | 11:37am
Johor Premium Outlet

Lebih 10,000 banjiri Johor Mega Sales 

KULAI: Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Johor Mega Sales 2016 di kawasan parkir Johor Premium Outlet (JPO) di sini, malam tadi.

Jualan besar-besaran itu yang bermula sejak 27 Mei lalu dan berakhir esok, menawarkan potongan harga sehingga 90 peratus yang membabitkan penyertaan 23 syarikat di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata acara itu diadakan sempena cuti sekolah bagi membolehkan pelancong dari dalam dan luar negara, khususnya Singapura berbelanja di Johor.

Katanya, program itu secara tidak langsung mewujudkan permuafakatan antara kerajaan negeri dan sektor swasta bagi mengukuhkan pelan strategik pemasaran pelancongan Johor.

"JPO dipilih untuk melancarkan Johor Mega Sales kerana ia adalah produk pelancongan bagi Kluster Pembangunan Pelancongan seperti termaktub dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023)," katanya pada majlis perasmian Johor Mega Sales 2016 di JPO di sini, malam tadi yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Siew Kiong berkata, sektor pelancongan Johor yang sedang berkembang pesat berjaya menarik pelancong asing.

"Seiring dengan peredaran zaman, sektor pelancongan perlu sentiasa bersifat inovatif dan dinamik supaya perkhidmatan ini sentiasa memenuhi cita rasa pelancong," katanya.

Berita Harian X