Sabtu, 4 Jun 2016 | 8:07am

Zlatan Ibrahimovic semakin hampir sertai Man United

MANCHESTER United akan membawa masuk penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic menerusi perpindahan percuma. - Foto AFP

LONDON: Manchester United akan membawa masuk penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic menerusi perpindahan percuma, sekali gus pengambilan pertama pemain menerusi pengurus baharunya, Jose Mourinho ke Old Trafford.

Sky Sports yang memetik sumber berkata, Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward sedang memuktamadkan kontrak setahun dengan wakil Ibrahimovic dengan pemain berusia 34 tahun itu mungkin akan bersama United sebelum Euro 2016.

Aksi sulung Sweden dalam Kumpulan E Euro di Perancis ialah menentang Ireland pada 13 Jun.

Bekas penyerang Malmo, Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, Barcelona dan AC Milan dengan kontraknya hampir tamat di Paris St Germain (PSG), Ibrahimovic dilihat mahu menambah koleksi kejuaraannya dengan kelab Liga Perdana Inggeris.

Penyerang prolifik itu sudah menjaringkan 11 daripada 19 gol dalam kempen kelayakan Euro Sweden termasuk tiga gol dalam empat aksi playoff menentang Denmark yang membolehkan layak ke final di Perancis.

Pemain tinggi lampai itu menamatkan kariernya di PSG dengan membantu mendakap tiga trofi untuk kali kedua berturut-turut. Malah, Ibrahimovic meledak dua gol untuk kemenangan 4-2 PSG menentang Olympique de Marseille pada aksi final Piala Perancis. - AFP

Berita Harian X