Sabtu, 4 Jun 2016 | 12:07am

Cavani minat sertai Atletico Madrid


PENYERANG Uruguay, Edinson Cavani. - Foto EPA

ARIZONA, Amerika Syarikat: Edinson Cavani mungkin meletakkan fokus kepada aksi Copa America Centenario bersama Uruguay, namun dia masih mengintai peluang untuk berhijrah ke finalis Liga Juara Juara, Atletico Madrid.

Penyerang Paris Saint Germain itu mengakui dia berminat berhijrah ke kelab La Liga itu selepas tiga tahun bersama juara Perancis itu yang menyaksikan dia merangkul tiga kejuaraan Ligue 1 dan meledak 81 gol dalam 148 penampilan.

Selepas kehilangan Zlatan Ibrahimovic yang tidak memperbaharui kontraknya bersama kelab itu, jurulatih PSG, Laurent Blanc pastinya enggan kehilangan pemain antarabangsa Uruguay itu.

Namun PSG pastinya berdepan tamparan jika Atletico Madrid cuba memancing minat Cavani terutamanya dia turut menyatakan minat untuk beraksi di pasukan terbabit.

"Corak permainan yang ditunjukkan Atletico Madrid sedikit sebanyak menarik minat saya namun saya tidak tahu jika perpindahan ini boleh berlaku.

"Bola sepak sering berubah jadi anda tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Apapun, saya masih lagi pemain PSG dan saya perlu menghormati kedudukan itu. Jadi tidak manis untuk bercakap hal sedemikian," katanya. - AGENSI

Berita Harian X