Jumaat, 3 Jun 2016 | 11:59pm

Euro 2016: Rasford, Smalling bakal jadi bintang England

PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford. - Foto EPA

LONDON: Bekas penyerang England, Emile Heskey percaya dua pemain Manchester United, Marcus Rashford dan Chris Smalling bakal memainkan peranan penting dalam membantu hala tuju England di Kejohanan Eropah pada edisi kali ini.

Rashford meledak selepas tiga minit ketika penampilan pertamanya bersama England menentang Australia minggu lalu sementara Smalling menjaringkan gol kemenangan ke atas Portugal, semalam.

"Rashford dilihat tidak terbeban dengan tekanan yang diletakkan ke atas dan saya berpendapat dia tidak memikirkan mengenai perkara terbabit kerana dia akan beraksi mengikut kemampuannya.

"Dia tidak berdepan masalah untuk beraksi dengan baik dan dia boleh menjadi lebih daripada sekadar penyerang untuk membantu England kali ini," kata Heskey.

Heskey yang memiliki 62 kaps bersama England turut mengakui kehadiran Smalling memperkukuh lagi pertahanan England dan dia mampu menjadi sehebat Rio Ferdinand satu hari nanti.

"England memiliki barisan penyerang yang baik namun pertahanan juga nampak lebih kukuh dengan prestasi Smalling yang kian meningkat.

"Pada mulanya dia bergelut di United dan kini dia menjadi seorang pemain pertahanan yang amat baik," katanya. - AGENSI

Berita Harian X