Jumaat, 3 Jun 2016 | 4:19pm

FRU tubuh semula Unit Paramedik Medan


WAN Abdullah Ishak (kanan) bertemu pelatih selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Paramedik Medan PSP Siri 1/2016 di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menubuhkan semula Unit Paramedik Medan selepas 20 tahun dibubarkan bagi memberi bantuan perubatan segera ketika menghadapi rusuhan atau perhimpunan awam di negara ini.

 Komander FRU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak, berkata siri pertama membabitkan 50 anggota pasukan itu termasuk pemandu diberi pendedahan khusus membabitkan perubatan.

  Beliau berkata, anggota FRU wanita dan unit pasukan berkuda turut menyertai pasukan berkenaan.

  "Kursus berkenaan mampu menjadi perintis kepada kursus lanjutan yang seterusnya supaya FRU boleh memberi bantuan awal kepada anggota dan orang awam yang cedera.

  "Bagaimanapun, tidak semua anggota menyertai unit berkenaan berikutan terdapat kriteria tertentu yang dipilih," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Paramedik Medan PSP Siri 1/2016 di sini hari ini.

  Wan Abdullah berkata, kursus yang julung kali diadakan selepas 20 tahun itu turut mendapatkan khidmat tenaga pengajar daripada agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X