Khamis, 6 November 2014 | 10:28am

EGM hari ini akan tentukan hala tuju MAS

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini bertujuan membolehkan pemegang saham minoriti mengundi berhubung cadangan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) membeli semula semua baki saham tidak dimilikinya dan mengeluarkan penyenaraian daripada Bursa Malaysia.

Menerusi langkah pengurangan modal berpilih (SCR) yang diumumkan baru-baru ini, Khazanah menawarkan membayar 27 sen seunit bagi setiap saham yang tidak dimilikinya daripada pemegang saham serta mengeluarkan status senaraian awam MAS daripada Bursa Malaysia.

Saham MAS pada jam 9.57 pagi ini diniagakan pada 26.5 sen.

Tinjauan BH mendapati pemegang saham minoriti datang seawal jam 8 pagi untuk mengambil bahagian dalam EGM itu. Proses pendaftaran bermula jam 10 pagi berjalan lancar dan keadaan terkawal. Lebih 1,000 hadir termasuk 560 pemegang saham minoriti. Mesyuarat itu yang bermula jam 10 pagi dijangka berakhir jam 1 tengah hari.

Khazanah adalah pemegang saham terbesar, menguasai 69.4 peratus saham MAS dan baki 29 pemegang saham terbesar lain memegang 6.57 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat penerbangan nasional itu sebanyak 16.7 bilion saham. Ini bermakna 24 peratus atau empat bilion saham adalah dikuasai pemegang saham minoriti.

Khazanah perlukan sokongan yang mewakili sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan saham dan 75 peratus daripada nilai untuk membolehkan SCR itu diteruskan. Khazanah juga perlukan 90 peratus persetujuan daripada pemegang saham untuk membolehkan penyenaraian MAS dikeluarkan daripada Bursa Malaysia.

SCR adalah sebahagian langkah yang disusun Khazanah untuk melaksanakan pakej penyusunan semula 12 perkara yang diumumkan pada 29 Ogos lalu yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM6 bilion.

Rancangan pemulihan komprehensif MAS yang diumumkan Khazanah itu bagaimanapun bergantung kepada penerimaan pemegang saham minoriti terhadap rancangan SCR dan penswastaan.

Bayaran 27 sen sesaham yang ditawarkan itu merangkumi premium 29.2 peratus daripada harga purata wajaran MAS dalam tempoh tiga bulan sebelum tawaran dibuat pada Ogos lalu. Khazanah akan membelanjakan RM1.4 bilion untuk membeli semua baki saham berkenaan dan jika semua pemegang saham bersetuju, mereka akan mendapat bayaran sebelum hujung tahun ini.

Pakej 12 perkara dalam pelan pemulihan komprehensif itu adalah 'langkah perit' yang perlu dilaksanakan Khazanah kerana MAS sudah mencatat kerugian sejak tiga tahun berturut-turut dengan jumlah keseluruhan sudah mencecah hampir RM5 bilion.

Antara lain pelan pemulihan itu membabitkan penubuhan sebuah NewCo menjelang 1 Julai 2015 untuk menempatkan operasi MAS sedia ada serta pembiayaan RM6 bilion daripada Khazanah merangkumi kos SCR sebanyak RM1.4 bilion, kos pampasan pengurangan kakitangan (RM1.6 bilion) dan permodalan semula RM3 bilion.

Rancangan penyusunan semula juga bakal menyaksikan penubuhan sebuah Suruhanjaya Penerbangan dan undang-undang khusus, Akta MAS untuk memudahkan proses penstrukturan dilaksanakan.

Berita Harian X