Jumaat, 3 Jun 2016 | 12:30pm

Pelatih konstabel terbaik terima tiket penerbangan


PENGARAH Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah (tengah) menampaikan hadiah kemenangan kepada Ronnie Julient Thomas pada Perbarisan Tamat Latihan PLAK Konstabel Skuad 3/2015 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di Jalan Puncak Borneo, Padawan, hari ini. - Foto Che Rani Che Din

PADAWAN: Buat julang kali, pelatih terbaik Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel menerima hadiah istimewa tiket penerbangan ke luar negara sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka.

Tiga pelatih bertuah itu menerima hadiah berkenaan pada Perbarisan Tamat Latihan PLAK Konstabel Skuad 3/2015 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di Jalan Puncak Borneo, di sini, hari ini.

Pelatih Terbaik Keseluruhan, Konstabel Morris Denis yang berasal dari Sibu, menerima dua tiket penerbangan Air Asia pergi balik ke Bali, Indonesia.

Pelatih Terbaik Latihan Luar, Konstabel Khairul Azmin Sodiwal dari Tawau, Sabah pula menerima dua tiket penerbangan Air Asia pergi balik ke Medan, Indonesia.

Ronnie Julient Thomas yang berasal dari Gombak, Selangor pula muncul sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan beliau menerima dua tiket penerbangan pergi balik ke Krabi, Thailand.

Hadiah kemenangan kepada pelatih terbaik disampaikan oleh Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Seramai 1,313 pelatih PLAK Konstabel Skuad 3/2015 dengan sebahagian besar daripadanya berasal dari Semenanjung berjaya menamatkan latihan berkenaan.

Sementara itu, pegawai AirAisa, Shahril Hafizi Radzali berkata, penajaan hadiah tiket penerbangan itu adalah antara sumbangan syarikat penerbangan murah itu terhadap kerjasama yang dijalin bersama PDRM.

"Inilah tajaan hadiah tiket penerbangan yang pertama AirAsia sumbangkan untuk pelatih terbaik PDRM dan kami memilih PULAPOL Kuching sebagai penerima sulung," katanya.

Berita Harian X