Jumaat, 3 Jun 2016 | 12:18pm

AIA lancar program insurans baharu, AIA Vitality

KUALA LUMPUR: AIA Bhd, peneraju utama syarikat insurans di Malaysia melancarkan AIA Vitality, program kesihatan dan kesejahteraan berasaskan sains yang menyediakan maklumat, alat dan motivasi kepada peserta untuk meningkatkan kesihatan mereka.

Ia adalah program insurans dan kesihatan bersepadu pertama di Malaysia.

Ketua Eksekutif dan Presiden Kumpulan AIA, Mark Tucker, berkata program itu menggabungkan manfaat kesihatan dan kesejahteraan dengan penyelesaian insurans hayat dan takaful AIA.

"Ia bagi membolehkan AIA memainkan peranan lebih aktif dalam memberi motivasi serta memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik.

"Kami menetapkan sasaran untuk menarik 30,000 ahli AIA Vitality menjelang akhir tahun ini," katanya pada pelancaran AIA Vitality, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Serantau Kumpulan AIA, Bill Lisle dan Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Anusha Thavarajah.

Tucker berkata, pelancaran AIA Vitality di Malaysia mencerminkan komitmen AIA untuk terus menerajui kepimpinan dan membantu orang ramai supaya hidup lebih baik dan sihat.

Berita Harian X