Jumaat, 3 Jun 2016 | 12:07pm

Tiga beranak maut motosikal dirempuh MPV

MUKAH: Tiga beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jambatan Kuning Kilometer 5 Jalan Mukah-Balingian, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 9.30 malam itu juga menyebabkan seorang lagi anak pasangan berkenaan cedera parah dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.

Panyau berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Adika Sudin, 27, merupakan penunggang motosikal, isterinya Jaifa Mohamad, 27, dan anak lelaki mereka, Mohamad Aniq Yuzri Mohamad Adika, 7.

"Seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan dikenali sebagai Fifi Nurlyana Safina Mohamad Adika, 6, mengalami cedera parah.

"Kemalangan itu berlaku kira-kira 9.30 malam apabila sebuah MPV yang datang dari arah Balingian menghala ke Mukah dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan seterusnya merempuh motosikal ditunggangi mangsa sekeluarga," katanya ketika dihubungi.

Panyau berkata akibat daripada rempuhan tersebut, pasangan suami isteri bersama dua orang anak mereka tercampak di bahu jalan.

Menurutnya, isteri mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami dan anak lelakinya meninggal dunia di Hospital Mukah.

Pemandu MPV berkenaan seorang lelaki yang berusia 37 tahun dilaporkan hanya cedera ringan. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X