Khamis, 2 Jun 2016 | 2:28pm

Anderson Thunderbolts tepati ramalan ke suku akhir

IPOH: Seperti dijangka, pasukan Anderson Thunderbolts mengungguli kejohanan Liga Hoki Perdana TNB Perak 2016.

Pasukan Sekolah Menengah Anderson Ipoh itu ternyata terlalu handal buat pencabar lain apabila memenangi semua tiga perlawanannya dalam kumpulan A. 

Pada pusingan awal, Thunderbolts membelasah kelab Hoki Kampar 19-0, Ipoh Lads 9-1 dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) 3-0 untuk muncul juara kumpulan sekali gus layak ke suku akhir. 

Ipoh Lads menghidupkan sisa peluangnya dengan membenam Kampar 11-1. 

Begitupun UTP juga berpeluang  merebut satu lagi slot ke suku akhir dari kumpulan itu kerana masih mempunyai dua perlawanan termasuk berdepan Ipoh Lads hujung minggu ini. 

Sementara itu Navy Dolphins layak dari kumpulan B selepas mengutip tujuh mata hasil kemenangan 9-1 ke atas PSKPP dan 4-0 Telekom Malaysia (TM) serta seri 1-1 dengan Politeknik Perak. 

Peluang Politeknik mara dari kumpulan ini lebih cerah kerana masih mempunyai dua perlawanan iaitu bertemu TM dan PSKPP. 

Kumpulan C menyaksikan TUDM merakam dua kemenangan untuk mencerahkan peluang muncul juara kumpulan jika menang perlawanan terakhir ke atas Persatuan Hoki Batang Padang (PHBP), pagi esok.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampak bakal menjuarai kumpulan D selepas kejayaan 6-2 ke atas Kelab Hoki Bandaraya Ipoh (KHBI) dan membelasah pasukan Pehodak  9-1.

Kejohanan kali pertama  anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tajaan  Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada juara manakala naib juara RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Berita Harian X