Khamis, 2 Jun 2016 | 1:01pm

KEMAS terus diperkukuh supaya kekal relevan - PM


DATUK Seri Najib Razak tiba pada Perhimpunan Perdana Anggota KEMAS sempena Hari Pendidik 2016 di Dewan MAEPS, Serdang, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

SERDANG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus diperkukuh supaya kekal relevan untuk tempoh 55 tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan langkah itu berkata, usaha memperkemas semangat dan roh perjuangan KEMAS perlu untuk generasi baharunya supaya terus komited dan bersungguh dalam kerjaya.

"Langkah seterusnya ialah memperhebat prestasi sebagai ejen transformasi dan bertindak sebagai penghubung aktif antara masyarakat dan kerajaan.

"Pendidik KEMAS juga perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Anggota KEMAS Bersempena Hari Pendidik 2016 di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hassan Mohd Amin.

Perhimpunan bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa dihadiri kira-kira 5,000 pendidik KEMAS seluruh negara selaras sambutan penubuhan KEMAS yang ke-55 tahun ini.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan seramai 1,263 penyelia KEMAS seluruh negara dinaikkan gred, bermula 1 Julai ini.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) melawat ruang pameran ketika Perhimpunan Perdana anggota KEMAS sempena Hari Pendidik 2016 di Dewan MAEPS, Serdang, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Berita Harian X