Rabu, 1 Jun 2016 | 2:51pm

Ezzaty muhasabah diri sebelum kahwin

KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzaty Abdullah mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri sebelum mendirikan rumah tangga pada Julai depan.

Ezaty, 26, berkata beliau merancang untuk menghabiskan lebih banyak masa di kampungnya, Bentong, Pahang, dan ingin menyendiri dan mendekatkan diri kepada Tuhan agar diri benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

"Seperti wanita lain, mereka juga akan mempersiapkan diri agar lebih bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.


PELAKON Ezzaty Abdullah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Begitu juga dengan saya yang mahu mendekatkan diri pada Allah. Ayah pernah berpesan, biar kita cintakan Allah dulu sebelum mencintai pasangan. Sebab itu saya mahu muhasabah diri dulu.

"Buat masa ini, saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan sehinggalah selesai segala urusan perkahwinan," katanya kepada BH Online.

Ezzaty ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Vermillion Essence Mist di sini, semalam. Turut hadir kekasihnya, Azwan Kombos.

Pada Mac lalu, keluarga Azwan merisik Ezzaty di rumah keluar pelakon wanita itu. Dalam majlis serba ringkas berkenaan, keluarga Azwan turut membawa cincin untuk Ezzaty sebagai tanda.

Mengikut perancangan awal, mereka mahu bernikah pada akhir Disember ini, tetapi ia dipercepatkan atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak.

Sementara itu, mengenai produk dilancarkan, ia diasaskan sendiri oleh Ezzaty dan Azwan selepas melihat perkembangan masyarakat tempatan yang semakin mementingkan kecantikan wajah.

Menurut Ezzaty, inisiatif untuk mengeluarkan produk kecantikan ini dilakukan kerana ia juga satu daripada impiannya yang mahu serius berada dalam bidang perniagaan kosmetik.

"Saya teruja menceburkan diri dalam bisnes ini, lebih-lebih lagi ia produk menganjalkan wajah pertama di Malaysia. Daripada kecil memang cita-cita saya ingin mempunyai perniagaan sendiri.

"Saya pernah mempunyai beberapa perniagaan lain sebelum ini tetapi gagal kerana kurang fokus. Kali ini saya betul-betul serius," ujarnya.

Sementara itu, Azwan Kombos berkata, impian untuk melancarkan produk berkenaan diibaratkan seperti angan-angan menjadi nyata.

"Sejak menceburkan diri dalam perniagaan, banyak peluang dan ruang yang saya nampak di depan mata. Malah, idea untuk menubuhkan syarikat bersama Ezzaty menjadi satu daripada punca pendapatan kami.

"Produk ini bukan sekadar mengikut aliran semasa semata-mata, ia adalah satu bentuk inisiatif yang perlu dilakukan ketika masih muda. Yang penting, saya pasti ia dapat membantu ramai masyarakat khususnya wanita di luar sana menjaga kesihatan kulit dan wajah," katanya.

45 dibaca
Berita Harian X