Rabu, 1 Jun 2016 | 11:51am

Ilmu rumah tangga penting untuk kekal bahagia


AHLI Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

JERANTUT: Sikap generasi muda yang tidak faham konsep institusi kekeluargaan menjadi satu daripada faktor wujudnya keganasan rumah tangga dan perceraian.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris, berkata mereka sepatutnya mendalami ilmu rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin bagi memastikan perkahwinan itu kekal bahagia selamanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut, berkata ketika ini semakin ramai yang mendirikan rumah tangga pada usia muda sedangkan mereka sebenarnya belum bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

"Mereka juga kurang  peka dalam memilih pasangan hidup tanpa mengambil kira latar belakang pasangan masing-masing dan akhirnya merugikan diri sendiri , " katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kursus praperkahwinan di Dewan Pejabat Parlimen Jerantut, di sini, hari ini.     

Seramai 270 orang menyertai kursus siri ketiga anjuran Pergerakan Puteri UMNO Jerantut dengan kerjasama Pejabat Agama Islam daerah.

Ahmad Nazlan berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam pemilihan jodoh anak mereka supaya rumah tangga yang dibina kekal hingga akhir hayat.

Beliau berkata ia termasuk mengambil tahu latar belakang dan hal ehwal bakal menantu mereka sebagai langkah berjaga-jaga  mengelak masalah yang tidak diingini selepas berkahwin.

"Kursus praperkahwinan adalah medium terbaik sebagai persiapan awal kepada bakal pengantin mendalami ilmu rumah tangga dan mengetahui tanggungjawab sebagai suami isteri serta ibu bapa pada masa depan," katanya.  

Berita Harian X