Selasa, 31 Mei 2016 | 7:34pm

Kempen di Kuala Kangsar guna multimedia - Annuar


AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Syamsi Suhaimi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menjalankan strategi kempen menggunakan kaedah multimedia untuk membantu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, yang masih dalam tempoh edah.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata strategi 'kempen tanpa calon' itu melibatkan penyediaan mini studio di kediaman calon dan kenderaan bergerak dengan pemasangan paparan LED bagi menghubungkan Mastura dengan pengundi di kawasan berkenaan.

"Kita akan guna kenderaan Mobile LED yang akan bergerak dari satu lokaliti ke satu lokaliti dan Datin Mastura boleh pilih hendak bercakap kepada pengundi dalam kawasan mana, saya akan aturkan.

"Ini adalah strategi multimedia yang akan kita gunakan kerana yang penting kita boleh bergerak melalui dua kenderaan LED mulai 3 Jun ke Kuala Kangsar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pelancaran Program Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat (TPBR) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, hari ini. Program itu dianjurkan Biro Kebajikan UMNO.

Annuar berkata, strategi lain yang akan digunakan ialah 'live streaming' dengan calon semasa satu program majlis bersama rakyat dan menerusi rakaman video dari semasa ke semasa.

"Ini bermakna suara Datin Mastura akan berada di seluruh kawasan Parlimen Kuala Kangsar," kata Annuar sambil menjelaskan kaedah itu telah dibincangkan dengan Najib.

Mengenai pengumuman Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar, Annuar berkata: "Kita tidak menghalang sesiapa bertanding (PRK Kuala Kangsar).

"Semua orang mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kawasan, tetapi mengikut Perlembagaan UMNO, mana-mana anggota UMNO yang bertanding menentang calon (parti), maka keanggotaannya gugur secara automatik," katanya.

Sebuah portal melaporkan Syed Rosli mengambil keputusan itu kerana kecewa dengan tindakan BN menamakan Mastura, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calonnya bagi PRK Kuala Kangsar.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun ini. - BERNAMA

Berita Harian X