Selasa, 31 Mei 2016 | 1:50pm

Tekak berdarah kerap nyanyi lagu nada tinggi - Khai


KHAI Bahar.

KUALA LUMPUR: Gara-gara kerap menyanyikan lagu bernada tinggi ketika memenuhi undangan persembahan, bakat baharu, Khai Bahar terpaksa menanggung risiko apabila mendapati tekaknya berdarah.

Khai, 22, berkata hampir setiap hari beliau diundang mengadakan persembahan dengan kebanyakan penganjur pula mahukannya menyanyikan lagu bernada tinggi popular Sudah Ku Tahu, nyanyian Projector Band.

"Hampir setiap hari saya ditawarkan membuat persembahan. Dalam sehari, saya mempunyai tiga acara di lokasi berbeza.

"Semua penganjur pula mahu saya menyanyikan lagu Sudah Ku Tahu. Kerana kerap membawakan lagu bernada tinggi, tekak saya berdarah. Sayang sekali, saya terpaksa membatalkan jemputan persembahan pada hari ini juga," katanya kepada BH Online.

Khai mula menjadi perhatian umum selepas video nyanyiannya yang digabungkan bersama Siti Nordiana menerusi lagu Memori Berkasih menerusi aplikasi Smule menjadi viral.

Lagu Sudah Ku Tahu yang dinyanyikan semula olehnya di aplikasi sama turut mendapat pujian ramai.

Sementara itu, Khai yang kini bernaung di bawah syarikat NAR Records berkata, walaupun tekaknya cedera teruk, namun beliau tidak menganggap ia satu bebanan. Sebaliknya penyanyi ini menyifatkan perhatian yang diterimanya kini adalah peluang yang jarang diraih.

"Bukan senang untuk orang memanggil kita membuat persembahan. Apabila peluang berada di depan mata, saya ambil sebaik-baiknya.

"Hendak disalahkan penganjur kerana sering meminta saya membawakan lagu bernada tinggi pun tidak boleh juga kerana sudah menjadi kerja saya untuk menyanyikan sebarang karya yang diinginkan.

"Mungkin saya akan lebih menitik beratkan soal penjagaan tekak dan suara selepas ini agar tidak mudah ditimpa musibah," katanya.

Berita Harian X