Selasa, 31 Mei 2016 | 12:56pm
BASIKAL di Taman Tasik Taiping dan Kamunting.

MPT laksana sistem kongsi basikal tahun depan

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan melaksanakan sistem perkongsian basikal tahun depan sebagai usaha mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar ini.

Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Ariff, berkata sistem yang dilaksanakan dengan kerjasama M Bike Sdn Bhd itu akan membantu orang ramai menjadikan basikal sebagai pengangkutan alternatif.

"Pada masa sama ia memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali Taiping dengan lebih dekat.

"MPT telah mengenal pasti 31 stesen untuk melaksanakannya sistem itu termasuk stesen kereta api Kamunting, Zoo Taiping, Bukit Larut, serta Taman Tasik Taiping dan Kamunting," katanya kepada Bernama.

Abd Rahim berkata pihaknya telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan M-Bike pada 19 Mei lalu berhubung pelaksanaan sistem itu.

Katanya, pengguna boleh menyewa basikal dalam tempoh 24 jam dengan membuat pembayaran sama ada secara tunai, kad Touch n'Go serta kad kredit.

"Basikal yang disewa itu akan dipulangkan di mana-mana 31 lokasi berkenaan," katanya.

Selain Taiping, Ipoh juga akan melaksanakan sistem perkongsian basikal tahun depan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas serta menjaga alam sekitar. - BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X