Selasa, 31 Mei 2016 | 9:49am

Jualan tinggi Jaguar Land Rover Eropah lonjak keuntungan Tata Motors

MUMBAI: Jualan tinggi Jaguar Land Rover di Eropah dan China membantu Tata Motors Ltd meningkatkan keuntungannya sebanyak tiga kali ganda, mengatasi anggaran penganalisis.

Untung bersih Tata Motors meningkat kepada 51.8 bilion rupee (AS$771 juta) dalam tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac, kata Tata Motors dalam satu kenyataan.

Anggaran 25 penganalisis yang dikumpulkan Bloomberg sebelum ini ialah purata keuntungan bersih 35.3 bilion rupee.

Keuntungan unit kenderaan mewah Jaguar Land Rover meningkat 56 peratus kepada 472 juta pound (AS$690 juta).

Penghantaran Jaguar Land Rover di Eropah melonjak 55 peratus dalam suku dikaji, lebih pantas berbanding pengembangan 48 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya.

Jualan kenderaan mewah itu di China menokok 19 peratus, berbanding penyusutan 10 peratus pada suku sebelumnya, dengan bermulanya pemasangan tempatan Land Rover Discovery Sport SUV dan sedan Jaguar XE.

"China kembali rancak dan kami berhati-hati optimistik bahawa ekonomi global akan terus berkembang," kata Ralf Speth, Ketua Pegawai Eksekutif Jaguar Land Rover, pada sidang media di sini.

"Sehubungan itu, kami berharap dapat terus berkembang."

Syarikat automotif itu mengeluarkan model XE di Amerika Syarikat yang menyaksikan pertumbuhan baik di negara itu, katanya.

Syarikat itu akan terus melabur dalam produk baharu, kata Speth.

Pendapatan Tata Motors meningkat 19 peratus kepada 806.8 bilion rupee, berbanding 735.3 bilion rupee yang dianggarkan penganalisis. - Bloomberg

Berita Harian X