Isnin, 30 Mei 2016 | 8:39pm

Kerja pembersihan merkuri selesai


ANGGOTA Unit hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang melakukan siasatan mencari cecair merkuri yang dipercayai berada di kawasan bilik kunci air di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Tok Alang, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara. - Foto Amir Irsyad Omar

TASEK GELUGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang selesai melakukan kerja membersihkan sejumlah merkuri yang ditemui dibuang di sebuah pondok di kawasan ladang sawit di Bukit Tok Alang, di sini, petang tadi.

Kerja pembersihan dimulakan pagi tadi, selepas seorang daripada remaja menunjukkan lokasi yang menjadi punca pencemaran merkuri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu dan di beberapa rumah penduduk kampung minggu lalu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Muhammad Hayazi Taib, berkata pihaknya menemui sejumlah bahan terbabit dalam keadaan terdedah di atas lantai pondok dan di dalam batang paip.

Katanya, kerja pembersihan bermula jam 10.30 pagi dan berlarutan hingga petang tadi sebelum kawasan berkenaan disahkan bebas pencemaran merkuri.

"Kita menggunakan serbuk sulfur yang ditabur di kawasan yang didapati tercemar sebelum semua kesan merkuri dikutip bagi dilupuskan di lokasi lebih selamat.

"Sebelum ini, anggota dan pegawai bomba turut melakukan pembersihan merkuri di enam rumah dan reban ayam di Kampung Baru, Jalan Padang Menora," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang ibu dan bayi lelakinya berusia 20 hari antara 16 penduduk Kampung Baru, di sini dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas dikhuatiri tercemar dengan bahan itu.

Semua mereka kini masih dalam pemantauan pihak hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Berita Harian X