Isnin, 30 Mei 2016 | 7:41pm

Sutung Umar Rs meninggal dunia

SUTUNG Umar.- Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Unit Pengembangan Sastera BH dan pengarang terkemuka, Wan Omar Wan Ahamed, 68 atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar Rs, meninggal dunia di kediamannya di Taman Seri Gombak dekat sini kira-kira jam 5 petang tadi.

Anaknya, Murni Wan Omar, berkata jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Permata, Taman Seri Gombak selepas urusan solat jenazah di Masjid Al Khairiah Taman Seri Gombak.

Sutung Umar Rs yang dilahirkan di Kota Bharu pada 1948 bersara dari BH pada 2003. Sebelum itu beliau pernah bertugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan jawatan terakhir sebagai Editor Kumpulan Majalah DBP.

Sebagai penggiat sastera, Sutung Umar Rs pernah menubuhkan Teater Elit yang mempelopori Baca Puisi di Hotel Century Abad Kuala Lumpur dan Malam Puisi Tanah Air, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Genre penulisannya meliputi puisi, cerpen, esei dan novel tetapi beliau tidak banyak menerbitkan karya dalam bentuk buku secara persendirian ketika berkhidmat di DBP dan BH, selain tiga kumpulan puisi, iaitu dua kumpulan sajak kanak-kanak, Kampung Halaman dan Wau Bulan terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd serta Taburkan Bunga (DBP).

Bagaimanapun, beliau banyak menghasilkan novel, kumpulan cerpen dan puisi selepas persaraan itu.

Karya terbaharu beliau, kumpulan puisi Nyanyian Mazmur diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Januari lalu.

Berita Harian X