Isnin, 30 Mei 2016 | 11:37am

Sukar lahir pengganti Chong Wei - Frost


Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengakui sukar untuknya melahirkan atau mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei dalam tempoh dua tahun ini.

Frost berkata, Chong Wei adalah ikon dan tiada siapa boleh menggantikan tempatnya.

Sehubungan itu, fokus utamanya kini ialah melahirkan dua pemain perseorangan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia seperti Denmark.

"Chong Wei adalah ikon dan jarang kita dapat menggantikan seorang ikon seperti dia. Matlamat saya sekarang adalah untuk menghasilkan dua pemain yang boleh berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Namun, ia pasti mengambil masa. Jadi, untuk tempoh dua tahun lagi bukan sesuatu yang mustahil untuk Chong Wei kekal sebagai pemain nombor satu Malaysia.

Cabaran utama buat Chong Wei sekarang adalah untuk kekal cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan. Dia juga perlu sentiasa dahagakan kemenangan untuk terus kekal bersaing di pentas antarabangsa," kata Frost ketika dihubungi, semalam.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Chong Wei yang juga pemain nombor dunia melontarkan cabaran kepada pemain muda negara untuk mengambil alih tempatnya dalam tempoh dua tahun lagi sebagai perseorangan pertama negara sekali gus tidak perlu lagi menggunakan khidmatnya terutama bagi menghadapi Piala Thomas 2018.

Pemain nombor dua dunia itu yakin status sebagai perseorangan pertama negara akan kekal menjadi miliknya jika dia terus beraksi secara kompetitif di pentas antarabangsa untuk tempoh dua tahun lagi.

Mengulas lanjut, Frost berkata buat masa sekarang beliau tidak mahu menamakan mana-mana pemain yang berpotensi bagi menggantikan tempat Chong Wei tetapi memuji peningkatan yang ditunjukkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Saya tidak mahu sebut nama mana-mana pemain tetapi apa yang ditunjukkan Iskandar sangat baik. Harap dia boleh meneruskannya untuk terus berada dalam kelompok terbaik dunia," kata Frost.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan BAM melantik Frost dengan tanggungjawab adalah memastikan Malaysia mempunyai pemain bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun lagi terutama bagi menghadapi Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Berita Harian X