Ahad, 29 Mei 2016 | 10:24pm
Pemain Terengganu, Faizal Saari (tengah) dia asak oleh pemain PDRM pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Razak 2016 di Stadium Bukit Jalil. - foto Hasriyasyah Sabudin

Hoki: Faizal, Akhimullah tamatkan kemarau Terengganu


Pasukan Terengganu muncul juara pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak 2016 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Terengganu menamatkan kemarau selama empat tahun apabila mencatat kemenangan mudah 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pertemuan final Divisyen 1 Piala Razak di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Selaku juara Terengganu membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM10,000 manakala PDRM berpuas hati dengan RM 7,000.

Faizal Saari yang tidak beraksi selama enam bulan akibat menjalani hukuman penggantungan membuktikan dirinya tetap berbisa dengan menyumbang dua gol pada aksi terbabit.

Masing-masing menerusi penyudah pukulan sudut penalti minit ke-41 dan gol padang hasil pukulan padu yang masuk ke bawah kaki penjaga gol PDRM Zaidi Ibrahim berselang 11 minit kemudian.

Muhammad Akhimullah Anuar Esook melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Sarjit Singh itu apabila pukulan kilasnya menerjah ke gawang pada minit ke-57.

Kemenangan itu adalah kali kedua buat Terengganu manakala PDRM terus kemarau kejuaraan itu selepas tidak pernah memenanginya sebelum ini.

Kali terakhir Terengganu muncul juara adalah pada edisi 2012 di Kuantan, Pahang dengan menundukkan pasukan tuan rumah itu sendiri 3-0.

Berita Harian X