Ahad, 29 Mei 2016 | 9:21am

Pemandu rentung kereta langgar motosikal


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat seorang lelaki yang rentung dalam kereta yang terbakar di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

PETRA JAYA: Dua lelaki maut, termasuk seorang rentung, dalam kemalangan di Jalan Sultan Tengah, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Mayat mangsa rentung yang memandu sebuah Toyota Vios ditemui selepas kebakaran keretanya dipadamkan pasukan bomba. Seorang lagi yang maut ialah pembonceng sebuah motosikal, namun identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya yang menerima panggilan jam 3.31 pagi menghantar sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

"Sebaik tiba di lokasi pada jam 3.40 pagi, pasukan bomba memadamkan kebakaran Toyota Vios dan selepas itu menemui mayat seorang lelaki rentung dalam kereta berkenaan. Seorang lagi mangsa, lelaki membonceng sebuah motosikal juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Berdasarkan maklumat awal polis, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit yang dipercayai dipandu laju terlanggar sebuah motosikal yang tidak mempunyai lampu. Penunggang motosikal dilaporkan cedera.

Berita Harian X