Ahad, 29 Mei 2016 | 9:17am

Kekalahan kali ini lebih memedihkan - Simeone

JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone kecewa selepas pasukannya tewas kepada Real Madrid menerusi penentuan penalti. - Foto Reuters

MILAN: Real Madrid sekali lagi menewaskan Atletico Madrid di pentas final Liga Juara-Juara yang menyaksikan Cristiano Ronaldo melunaskan sepakan penentuan penalti bagi membantu kelab ternama di Eropah itu menjulang trofi ke-11 buat mereka, sebentar tadi.

Perlawanan berakhir dengan 1-1 selepas masa tambahan tatkala Atletico - yang seperti biasa sentiasa memiliki semangat juang - melepaskan gol awal dan penalti sebelum bangkit menyamakan kedudukan di San Siro.

Namun segala-galanya menjadi sia-sia apabila Juanfran gagal melunaskan sepakan penentuan penalti keempat sekali gus membenarkan Ronaldo meledak gol selepas itu bagi membenarkan mereka menang dengan keputusan 5-3 - trofi ketiga di peringkat Eropah buat dirinya.

Bekas tonggak Real, Zinedine Zidane yang mula mengendali pasukan sejak lima bulan lalu muncul selaku jurulatih ketujuh yang merangkul trofi selaku pemain dan pengurus.

Bagaimanapun, pentas final itu pastinya menjadi medan kekecewaan buat anak buah Diego Simeone apabila mereka mampu mendahului perlawanan namun gagal mempertahankan momentum berkenaan.

Mengulas mengenai kejayaan Real, kapten pasukan Sergio Ramos yang turut melunaskan sepakan ketiga, berkata: "Kami tahu ia satu peluang yang unik untuk melakar sejarah dan selepas musim ada naik turunnya, sudah tentu kejayaan ini sebagai satu anugerah."

Sementara itu, jurulatih Atletico, Simeone menambah: "Pedih melihat penyokong yang membayar tiket dan saya tidak mampu memenuhi hajat mereka. Ia lebih memedihkan daripada segala-galanya.

"Apapun, saya bangga dengan pemain saya, mereka sudah menunjukkan kesungguhan untuk menewaskan Barcelona dan Bayern Munich (pada pusingan awal). Kesungguhan mereka memang menakjubkan." - AP

Berita Harian X