Ahad, 29 Mei 2016 | 12:50am

Tayar buatan China patut jadi alternatif tayar celup

Petugas Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) mengumpul serpihan tayang celup yang dijumpai sepanjang lebuh raya pada ops bersepadu di Lebuh Raya Utara Selatan PLUS arah Selatan, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tayar buatan China yang lebih murah sepatutnya boleh menggantikan kebergantungan industri logistik terhadap tayar celup.

Tayar kenderaan berat buatan China itu mempunyai pelbagai kelebihan antaranya tidak mudah pecah ketika di jalan, tetapi kurang mendapat sambutan berikutan kurang promosi.

Dari segi harga pula, tayar import berkenaan berharga antara RM600 hingga RM800 berbanding tayar celup sekitar RM1,200 sebiji.

Bekas jurutera awam yang kini pengedar tayar import, Ling Yu Huat, 49, berkata tayar buatan China dibuat menggunakan kepakaran Eropah dan Jepun seperti tayar pneumatik lain.

Katanya, kebanyakan syarikat pemilik jenama tayar antarabangsa Eropah serta Jepun mendirikan kilang di China dan teknologi sama diguna pakai oleh pengeluar tayar negara itu untuk menghasilkan produk bagi kegunaan kenderaan berat.

"Tidak seperti tayar celup, tayar yang dihasilkan ini mempunyai lebih banyak kelebihan seperti tidak mudah pecah, tidak serpih, tahan lama, getah baharu dan lebih penting kos yang efisyen," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan khas BH sebelum ini berkaitan tayar celup kenderaan berat yang pecah di jalan sehingga menjadi antara punca kemalangan jalan raya selain menyebabkan kerosakan kepada kenderaan lain.

Yu Huat berkata, tayar buatan China juga lebih tahan lama iaitu antara 80,000 ke 100,000 kilometer berbanding tayar celup yang mempunyai had 40,000 kilometer sahaja.

INFO
# Tayar celup mesti ada ketebalan bunga minimum 1.6 milimeter
# dinding tayar tidak koyak melebihi 25 sentimeter

Berita Harian X