Rabu, 5 November 2014 | 2:58pm

Tawaran saham MAS 27 sen seunit, terbaik

KUALA LUMPUR: Tawaran 27 sen sesaham kepada pemegang saham minoriti Penerbangan Malaysian (MAS) untuk mengeluarkan penyenaraian syarikat itu daripada Bursa Malaysia adalah tawaran yang terbaik.

Mengikut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Malaysia (MSWG), Datuk Abdul Wahab Jaafar Sidek, 27 sen adalah harga premium kerana saham itu hanya sekitar 15 sen sebelum tawaran dibuat.

"Sekiranya saya pelabur, saya akan mengambil wang itu dan melaburnya di tempat lain bagi mendapatkan pertumbuhan tinggi," katanya menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) MAS esok, apabila pemegang saham minoriti akan memutuskan nasib syarikat penerbangan itu yang berdepan masalah kewangan.

Undian 'terima' mereka akan memberikan bantuan hayat baharu kepada MAS dan membolehkan Khazanah Nasional Bhd memulakan pelan penyusunan semula besar-besaran yang bernilai RM6 bilion bagi memulihkan syarikat penerbangan itu dalam tempoh tiga tahun.

Mengikut undang-undang sekuriti Malaysia, tawaran seumpama itu perlu bukan saja adil tetapi juga berpatutan, dan penasihat bebas diperlukan untuk memutuskan harga tawaran itu bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.

Sehubungan itu, MAS sudah melantik AmInvestment Bank Bhd yang merumuskan bahawa tawaran itu adalah adil dan berpatutan berdasarkan kepada dua kriteria iaitu harga pasaran dan harga sejarah mengatasi harga pasaran 10 hari urus niaga serta aset ketara bersih yang lebih rendah berbanding harga tawaran.

Mengambil kira semuanya, tawaran itu adalah adil dan berpatutan, kata AmInvestment Bank. - BERNAMA

Berita Harian X