Sabtu, 28 Mei 2016 | 10:31pm

Calon tidak turun kempen, tidak jejas usaha BN - Shahrizat


Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Keadaan tidak mengizinkan calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tidak akan memberi kesan kepada usaha untuk mempertahankan kerusi itu.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil percaya pengundi akan memahami tempoh edah yang perlu dilalui oleh Mastura susulan kematian suaminya, bekas penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Namun pengundi tidak perlu risau kerana kita jentera Wanita akan sentiasa menghubungi calon untuk memberitahu perkembangan semasa kempen," katanya selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kuala Kangsar dan pelancaran jentera BN, di sini, hari ini.

Mastura, 55, seorang peguam, dinamakan sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

PKR itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, 50 sebagai calon parti itu manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calon parti itu pada 1 Jun ini.

Shahrizat berkata, pemilihan Mastura sebagai calon adalah satu keputusan yang tepat terutama dalam menyambung legasi dan hasrat arwah suaminya.

"Antara sebab beliau dicalonkan adalah kerana beliau adalah satu-satunya insan yang sentiasa bersama arwah. Sebagai isteri beliau mengetahui semua isu dan semua tuntutan rakyat di Kuala Kangsar," katanya.

Dalam pada itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui ketiadaan Mastura dalam kempen adalah cabaran kepada jentera BN, namun ia bukan halangan besar kerana calon BN itu sudah dikenali penduduk Kuala Kangsar.

"Kita juga boleh menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti persidangan video dengan memasang skrin besar semasa berkempen untuk Mastura menyampaikan sesuatu kepada pengundi," katanya.

Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon percaya masyarakat Cina akan menyokong Mastura memandangkan beliau mempunyai keperibadian yang serupa dengan arwah suaminya.

Jumlah pengundi pada PKR Kuala Kangsar adalah sebanyak 32,949 dengan hampir 8,000 adalah pengundi kaum Cina dan daripada jumlah itu, 2,834 adalah ahli MCA, katanya.

"Kami yakin masyarakat Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 2013, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi dengan mengalahkan calon PAS, Khalil Lim Abdullah dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim. - BERNAMA

Berita Harian X