Sabtu, 28 Mei 2016 | 9:43pm

Hubungi polis jika klinik didatangi warga asing cedera kena tembak


Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar.

KAJANG: Klinik dan hospital di negeri ini diminta segera menghubungi polis jika didatangi lelaki warga asing untuk rawatan kerana cedera ditembak.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata suspek itu kini diburu polis setelah meloloskan diri ketika empat rakannya ditembak mati di Kajang, pada Khamis.

"Polis sudah buat pemeriksaan di sekitar kawasan Kajang namun masih belum mengesan suspek," katanya selepas Pertandingan Golf Sempena Peringatan Hari Polis Ke-209 yang disertai kira-kira 120 pegawai dan anggota polis di Kelab Golf Sungai Long, di sini, hari ini.

Khamis lalu, dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi, polis menembak mati empat daripada lima individu yang dipercayai terbabit dalam kes samun di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang.

Semua suspek dikatakan cuba memecah masuk sebuah banglo di Taman Saujana Impian, pada 3.15 pagi hari kejadian.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, pihaknya melakukan pemantauan berkala di Highland Towers, Hulu Klang, Selangor bagi memastikan lokasi itu tidak dijadikan sarang jenayah.

"Kita tidak mahu insiden yang sama berulang apabila warga asing menggunakan tempat berkenaan sebagai penempatan mereka melakukan jenayah," katanya.

Pada 12 April lalu, tiga suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Selangor ditembak mati selepas mereka cuba menyerang polis yang menyerbu sebuah bangunan lama kondominium Highland Towers. - BERNAMA

Berita Harian X