Sabtu, 28 Mei 2016 | 3:27pm

PDRM pastikan PRK aman, bebas provokasi


PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman memeriksa perbarisan pada majlis perasmian Perbarisan Tamat Latihan Konstabel Lelaki Siri 3/2015 di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPOL), hari ini. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BANDAR SERI JEMPOL: Polis akan bertindak tegas terhadap pihak yang melakukan provokasi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor, bulan depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata pihaknya tidak teragak-agak menahan mereka yang melakukan perbuatan itu bagi memastikan keamanan terpelihara.

"Bilangan anggota dan pegawai bertugas di dua PRK itu dari hari penamaan calon pada 5 Jun sehingga hari pengundian pada 18 Jun, belum dimuktamadkan, namun kita akan pastikan mereka mencukupi.

"Kita harap penyokong parti politik bertanding tidak menimbulkan suasana tegang yang boleh mencetuskan kejadian luar kawalan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Konstabel Lelaki Siri 3/2015 di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPOL), hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Komandan PULAPOL, Superintendan Samsor Maarof; dan Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor.

Pada majlis itu, seramai 1,387 pelatih menamatkan latihan asas kepolisan selama enam bulan di PULAPOL Air Hitam dengan lapan pelatih memiliki ijazah, 248 mempunyai diploma dan 113 pelatih memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

11 dibaca
Berita Harian X