Sabtu, 28 Mei 2016 | 1:44pm

MARA bantu pengusaha PKS perluas produk


AHLI Majlis MARA, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin (kiri) diiringi Pengarah MARA Pahang, Kamaruddin Awang (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Festival Mini Makanan MARA Pahang 2016 di perkarangan Arked MARA, pagi tadi. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pahang sedia membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam aspek penjenamaan dan pembungkusan produk bagi mengembangkan perniagaan.

Pengarah MARA Pahang, Kamaruddin Awang, berkata pihaknya sentiasa membantu usahawan dengan mendorong mereka peluang, baik pasaran dalam dan luar negara.

"Usahawan PKS mempunyai banyak produk menarik tetapi sukar menembusi pasaran lebih luas.

"Contohnya di Pahang, pelbagai produk menarik ada di daerah seperti sambal hitam dan ikan patin tempoyak yang tiada di tempat lain.

"Ini semua boleh dijenamakan untuk pasaran luar Pahang, selain berpotensi menembusi pasaran antarabangsa," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Mini Makanan MARA Pahang 2016 di perkarangan Arked MARA di sini, pagi tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Majlis MARA, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Kamaruddin berkata, pihaknya turut membantu usahawan berpotensi untuk mengadakan penyelidikan dan kajian dalam bidang diceburi.

"Kita menyediakan pinjaman bagi memastikan mereka dapat mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

"MARA sentiasa membuka peluang kepada usahawan PKS menjana pendapatan dan memulakan perniagaan menerusi kursus keusahawanan." katanya.

Festival julung kali diadakan itu berlangsung tiga hari bermula semalam, membabitkan 34 peserta dari pelbagai daerah di negeri ini.

Berita Harian X