Sabtu, 28 Mei 2016 | 12:15am
LAPORAN BH pada 2009 membuktikan isu serpihan tayar sudah lama mengancam pengguna kenderaan ringan dan orang awam di jalan raya.
Lando Zawawi membawa tayar celup yang hampir meragut nyawanya baru-baru ini.

Haramkan segera tayar celup



Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengharamkan penjualan tayar kitar semula atau tayar celup di negara ini atas faktor keselamatan awam.

Larangan itu sekali gus mampu mengelak pemilik kenderaan berat, mengambil kesempatan menggunakan tayar celup berkualiti rendah, hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghaffar Yusof, berkata cadangan itu sudah lama disuarakan kerana tayar kitar semula adalah tidak selamat, bukan sahaja kepada pemandu kenderaan, malah orang yang berada di atas jalan raya.

Beliau juga menegaskan, isu tayar kitar semula bukan perkara baharu kerana ramai pengguna jalan raya di negara ini lebih mementingkan soal kos, berbanding keselamatan nyawa diri sendiri.

"Isu tayar celup ini juga bukan benda baharu kerana saya sendiri melihat serpihan tayar di atas jalan sejak era 70-an lagi.

"Perkara ini terjadi kerana sikap orang kita yang suka dengan benda murah hingga sanggup mengabaikan isu yang lebih penting.


KETUA Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghaffar Yusof (tengah) bersama pelatih Kolej Komuniti Ledang selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di Tangkak pada 24 Mei lalu. - Foto Ibrahim Isa

"KPDNKK perlu menguatkuasakan undang-undang lebih ketat supaya tayar yang membahayakan keselamatan sebegitu tidak berada di pasaran, kerana ini adalah bidang kuasa mereka.

"Sampai bila kita mahu mendengar pengguna jalan raya mengalami nahas akibat penggunaan tayar yang tidak betul dan mereka yang menjadi mangsa akibat merempuh serpihan tayar," katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau mengulas isu serpihan tayar celup yang sering bertaburan di lebuh raya, yang sejak awal tahun lalu hingga Mac tahun ini sudah menjadi punca lebih 750 nahas di lebuh raya kendalian PLUS di seluruh negara.

Abd Ghaffar menegaskan, KPDNKK perlu mengawal tayar celup di peringkat sumber iaitu kilang pengeluaran komponen terbabit.

"Ramai menyangka tayar celup ini adalah isu penguatkuasaan keselamatan jalan raya sahaja tetapi sebenarnya perkara ini perlu diatasi di peringkat pengeluaran lagi iaitu kilang memprosesnya.

"Saya tidak fikir penguat kuasa keselamatan jalan raya mempunyai kepakaran dalam menentukan tayar celup berkualiti atau tidak, ketika membuat pemeriksaan atau penahanan di jalan raya," katanya.


SERPIHAN tayar tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.

SERPIHAN tayar celup yang sering menjadi punca nahas di lebuh raya. Foto hiasan

Abd Ghaffar berkata, ketika ini ada dua jenis tayar celup yang dikeluarkan di negara ini iaitu gred tinggi mengikut spefikasi piawaian ditetapkan dan berkualiti rendah.

"Jika pengendali kenderaan berat menggunakan tayar celup mengikut spefikasi, tidak akan berlaku masalah bunga tercabut atau sebagainya.

"Isunya timbul kerana mereka lebih mementingkan harga daripada kualiti dan ini mendatangkan masalah besar buat kita," katanya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brotherhood yang aktif dengan kerja sukarela keselamatan jalan raya hairan dengan sikap pihak  tertentu yang masih melabelkan tayar celup selamat digunakan di jalan raya..

Pengasas Brotherhood, Azlan Sani Nawawi, berkata tayar celup sudah menyebabkan banyak nahas di jalan raya dan lebuh raya, sama ada menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah atau meninggal dunia.


SEORANG guru wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh tayar sebuah lori yang tercabut dari laluan bertentangan di Jalan Pintasan, Kuantan pada Disember tahun lalu. - Foto ihsan JPAM

"Bukti apa lagi yang mahu ditunjukkan untuk mengatakan tayar celup ini tidak selamat kerana setiap hari ramai penunggang motosikal cedera parah akibat merempuh serpihan tayar itu.

"Malah banyak juga kenderaan rosak teruk akibat terbabas selepas melanggar serpihan tayar celup yang ditinggalkan di atas jalan raya.

"Saya sendiri pernah merasai pengalaman terbabit nahas berpunca daripada tayar celup dan nyaris maut akibat kemalangan itu," katanya.

Azlan Sani sebelum ini pernah meraih perhatian media sosial apabila membawa serpihan tayar celup ke Kementerian Pengangkutan selepas terbabit dalam nahas di  Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada April tahun lalu.


KEMALANGAN membabitkan sebuah treler yang terbalik berpunca daripada tayar pecah. - Foto Amran Yahya

Tindakan nekad itu mendapat reaksi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang dilaporkan, berkata kerajaan belum bercadang mengharamkan tayar celup dengan alasan ia masih selamat berdasar piawaian ditetapkan.

Dalam perkembangan itu Lando berkata, pihak berwajib perlu menyerbu kilang yang menghasilkan tayar celup berkualiti rendah dan tiruan di negara ini bagi mengelakkan masalah itu berlarutan.

"Kami mendapat maklumat kilang pengeluaran tayar celup tiruan ini semakin banyak berbanding kilang yang diluluskan kerajaan.

"Mereka mengeluarkan tayar tiruan dan menjual dengan harga yang murah kerana mendapat permintaan daripada pengendali kenderaan berat yang mahu melakukan penjimatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat rungutan daripada pemandu lori yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan tayar celup itu.

"Mereka ini jika boleh langsung tidak mahu menggunakan tayar celup kerana risiko pecah dan menyusahkan perjalanan tetapi tiada apa yang boleh dilakukan dan terpaksa mengikut arahan majikan," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X