Rabu, 5 November 2014 | 1:14pm

Kelangsungan langkah pemulihan MAS ditentukan dalam EGM esok

KUALA LUMPUR: Pemegang saham Penerbangan Malaysia (MAS) akan mengundi dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) esok berhubung tawaran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bagi membeli semua baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat itu.

Menerusi langkah pengurangan modal berpilih (SCR) yang diumumkan baru-baru ini, Khazanah menawarkan membayar 27 sen seunit bagi setiap saham yang tidak dimilikinya daripada pemegang saham serta mengeluarkan status senaraian awam MAS daripada Bursa Malaysia.

Khazanah adalah pemegang saham terbesar, menguasai 69.4 peratus saham MAS dan baki 29 pemegang saham terbesar lain memegang 6.57 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat penerbangan nasional itu sebanyak 16.7 bilion saham. Ini bermakna 24 peratus atau empat bilion saham adalah dikuasai pemegang saham minoriti.

Khazanah perlukan sokongan yang mewakili sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan saham dan 75 peratus daripada nilai untuk membolehkan SCR itu diteruskan. Khazanah juga perlukan 90 peratus persetujuan daripada pemegang saham untuk membolehkan penyenaraian MAS dikeluarkan daripada Bursa Malaysia.

SCR adalah sebahagian langkah yang disusun Khazanah untuk melaksanakan pakej penyusunan semula membabitkan 12 perkara yang diumumkan pada 29 Ogos lalu yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM6 bilion.

Rancangan pemulihan komprehensif MAS yang diumumkan Khazanah itu bagaimanapun bergantung kepada penerimaan pemegang saham minoriti terhadap rancangan SCR dan penswastaan.

Bayaran 27 sen sesaham yang ditawarkan itu merangkumi premium 29.2 peratus daripada harga purata wajaran MAS dalam tempoh tiga bulan sebelum tawaran dibuat pada Ogos lalu. Khazanah akan membelanjakan RM1.4 bilion untuk membeli semua baki saham berkenaan dan jika semua pemegang saham bersetuju, mereka akan mendapat bayaran sebelum hujung tahun ini.

Pakej 12 perkara dalam pelan pemulihan komprehensif itu adalah 'langkah perit' yang perlu dilaksanakan Khazanah kerana MAS sudah mencatat kerugian sejak tiga tahun berturut-turut dengan jumlah keseluruhan sudah mencecah hampir RM5 bilion.

Antara lain pelan pemulihan itu membabitkan penubuhan sebuah NewCo menjelang 1 Julai 2015 untuk menempatkan operasi MAS sedia ada serta pembiayaan RM6 bilion daripada Khazanah merangkumi kos SCR sebanyak RM1.4 bilion, kos pampasan pengurangan kakitangan (RM1.6 bilion) dan permodalan semula RM3 bilion.

Khazanah juga akan mengurangkan gearan (hutang bersih daripada dana pemegang saham) MAS daripada paras 290 peratus sekarang kepada sasaran antara 100-125 peratus menerusi pertukaran hutang kepada ekuiti. Setakat ini, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) setuju untuk menukar sukuk terbitannya sebanyak RM750 juta kepada ekuiti.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Datuk Abdul Wahab Jaafar Sidek, berkata harga 27 sen seunit kepada pemegang saham minoriti adalah tawaran yang sangat baik.

Katanya, 27 sen adalah premium kerana sebelum tawaran itu harga saham MAS hanya berlegar sekitar 15 sen seunit.

"Jika saya pelabur, saya akan terima tawaran itu dan melabur di tempat lain untuk pulangan lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X