Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:39am

Russia tetap senaraikan Sharapova sertai Olimpik Rio


Maria Sharapova masih digantung atas kegagalan ujian doping menggunakan dadah meldonium.

MOSCOW: Russia tetap menyenaraikan Maria Sharapova dalam pasukan tenis negara itu ke temasya Olimpik Rio meskipun pemain bintang itu masih digantung atas kegagalan ujian doping menggunakan dadah meldonium.

Ketua Persekutuan Tenis Russia, Shamil Tarpischev, berkata penyertaan Sharapova di Olimpik akan dimuktamadkan selepas tamat kejohanan Terbuka Perancis.

"Namanya sudah disenaraikan untuk ke Olimpik dan permohonan rasmi akan dihantar pada 6 Jun ini,'' katanya.

Sharapova, yang menang pingat perak di Olimpik London 2012 digantung Mac lalu selepas mengaku dia positif ujian meldonium ketika bertanding di Terbuka Australia pada Januari.

Sejak pengakuannya itu, sejumlah atlet Russia lain juga termasuk perenang Olimpik Yulia Efimova - juga positif mengambil meldonium.

Namun pada April, Agensi Anti Dadah Antarabangsa (WADA) yang hanya mengharamkan ubat keluaran Latvia mulai 1 Januari tahun ini mengeluarkan kenyataan bahawa atlet yang digantung mungkin boleh terlepas hukuman kerana pihaknya sendiri tidak dapat mengesahkan bahan meldonium mampu bertahan dalam tubuh penggunanya.

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) juga pada April mengesahkan bahawa kes Sharapova akan dikendalikan mengikut ketetapan WADA.

Russia dijangka menurunkan empat bintangnya bagi acara perseorangan diketuai Sharapova, Svetlana Kuznetsova, Anastasia Pavlyuchenkova dan Ekaterina Makarova.

Tarpischev berkata, jika Sharapova tidak dapat mengambil bahagian di Rio, tempatnya akan digantikan dengan pemain ranking kelima WTA, Daria Kasatkina yang berusia 19 tahun.

Atlet Russia dipalitkan dengan skandal dadah besar besaran termasuk pendedahan daripada bekas ketua anti dopingnya, Grigory Rodchenkov, yang mendakwa pegawai makmal ujian dadah negaranya sengaja melindungi atlet negaranya membabitkan kira-kira 15 atletnya di Sukan Olimpik musim sejuk di Sochi pada 2014.

Skandal itu berlarutan sehingga mendorong Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) melancarkan siasatan sendiri ke atas Russia dan akan membuat keputusan mereka sama ada mengharamkan penyertaan atlet Russi ake Rio atau sebaliknya Jun ini.

Minggu lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendedahkan 31 kes baharu yang membabitkan pemenang pingat Olimpik Beijing didapati gagal ujian doping termasuk 14 atlet dari Russia. - AFP

Berita Harian X