Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:07am
ISMARUDIN kerugian lebih RM3,000 akibat kerosakan pada kereta yang terlanggar serpihan tayar di lebuh raya.
SEBAHAGIAN serpihan bunga tayar celup tayar yang tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.
SERPIHAN tayar yang tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.

Tayar celup punca nahas


KUALA LUMPUR: Lebih 750 nahas yang berlaku di lebuh raya kendalian syarikat konsesi, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sejak Januari 2015 hingga Mac tahun ini, dikesan berpunca daripada serpihan tayar berselerak di lorong utama.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohammad Fuad Khusairi, berkata nahas berlaku kerana pemandu tidak sempat mengelak, sejurus serpihan itu tertanggal daripada tayar kenderaan berat, sebelum kejadian sempat dilapor untuk dibuang atau dibersihkan petugas syarikat itu.

Beliau berkata,  PLUS percaya muatan berlebihan yang dibawa kenderaan berat, menjadi antara punca tayar yang digunakan pengangkutan perdagangan terbabit pecah sebelum meninggalkan serpihan di lebuh raya.

 

"Apabila struktur tayar rosak, ia mudah pecah dan serpihannya pula boleh menyebabkan masalah kepada pengguna lebuh raya yang lain.

"Malah sepanjang tiga bulan tahun ini, kira-kira 49 peratus atau 2,900 daripada 6,000 kes objek yang dikesan dan dialihkan daripada lebuh raya kendalian PLUS di seluruh negara, membabitkan serpihan tayar.

"Secara purata, setiap hari petugas penyelenggaraan menemui dan mengalihkan kira-kira 32 kes serpihan tayar bagi  mengelakkan halangan laluan itu menjadi punca nahas di lebuh raya," katanya kepada BH.


SERPIHAN bunga tayar celup tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.

SERPIHAN tayar tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.

Mengulas usaha mengalihkan serpihan tayar lebuh raya, Fuad berkata, PLUS mempunyai prosedur operasi standard (SOP) iaitu di antara 5 hingga 15 minit untuk mengalih sebarang halangan atau objek dikesan di atas lebuh raya.

 

"Namun SOP ini bergantung juga kepada situasi trafik dan jenis halangan atau objek terbabit. Biasanya  tempoh lebih panjang diperlukan untuk mengurus trafik serta mengguna peralatan sesuai bagi objek besar, berat atau banyak di lokasi," katanya.

Beliau turut meminta semua pengguna lebuh raya supaya menghubungi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 sekiranya terlihat sebarang objek atau halangan  agar tindakan segera dapat diambil.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan (SUTRA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Amiruddin Ismail, berkata pemerhatian pihaknya mendapati kebanyakan serpihan berpunca tayar celup tertanggal bahagian tampalan bunga akibat pelbagai faktor.

 


ANGGOTA polis trafik membantu mengalihkan serpihan tayar celup yang pecah di lebuh raya.

"Kami dapati bunga tayar yang digam tercabut kerana cuaca panas, bebanan berlebihan dan tempoh guna yang sudah melebihi had. Jika serpihan itu ditinggalkan di atas jalan, tentu sekali akan membahayakan pengguna kenderaan lain," katanya.

 

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) mengakui penggunaan tayar celup mengundang risiko kepada pengguna kenderaan ringan, khususnya penunggang motosikal di atas jalan raya

 

Pengarah Pusat Penyelidikan Biomekanik dan Keselamatan Kenderaan MIROS, Ir Mohd Rasid Osman, berkata walaupun tiada kajian lengkap mengenai kelemahan tayar celup, namun pihaknya melihat penggunaannya berisiko.

 

Beliau berkata, MIROS mencadangkan supaya kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa bermula dari peringkat pengimport, pengeluar dan pengedar serta penguatkuasaan penggunaannya di jalan raya.

 

"Ini bagi mengelakkan penggunaan tayar celup yang tidak menepati piawaian ditetapkan," katanya. Ketika ini, tayar celup dibenarkan digunakan oleh kenderaan perdagangan dan pengangkutan jika mematuhi piawaian SIRIM, Malaysian Standard (MS) 224:2005.


ANGKARA tayar celup, Fariz terbabit nahas ketika dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menguruskan hal perkahwinan.

JAKET yang dipakai Fariz, koyak akibat terjatuh selepas motosikalnya terbabit nahas akibat terlanggar serpihan tayar celup di lebuh raya. celup.

FARIZ kini trauma untuk menunggang motosikal pada waktu malam selepas cedera akibat nahas terlanggar serpihan tayar.

Sementara itu, kebanyakan pengguna lebuh raya yang pernah menjadi mangsa nahas terlanggar serpihan tayar menyifatkan mereka bernasib baik kerana tersisih daripada maut dalam kejadian itu.

Arkitek, Mohd. Fariz Norzlan, 30, berkata kemalangan yang dialami pada Januari tahun lalu membuatkan dia trauma menunggang motosikal pada waktu malam, 

Katanya, walaupun tidak parah tetapi motosikal jenis Yamaha FZ150 yang ditunggang rosak teruk hanya kerana merempuh serpihan tayar lori di lorong kecemasan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke kampung di Parit Buntar untuk menguruskan hal perkahwinan dan nahas itu nyaris menyebabkan majlis itu tidak menjadi kenyataan.

"Serpihan tayar celup itu secara tiba-tiba terpelanting di hadapan saya menyebabkan saya tak mampu mengelak dan merempuhnya. Akibatnya, motosikal hilang kawalan dan saya terjatuh ke kiri laluan. Kalau terjatuh sebelah kanan, mungkin nasib saya lebih buruk," katanya.


ALIF terpaksa melanggar serpihan tayar kerana tidak mampu mengelak selepas lorong di kiri dan kanannya turut mempunyai kenderaan.

Mangsa, Alif Abu Bakar, 27, berkata dia juga terpaksa merempuh serpihan tayar celup untuk mengelakkan kemalangan lebih buruk.

"Ketika kejadian, di sebelah kiri ada lori, manakala di lorong kanan ada kereta bergerak laju jadi saya terpaksa melanggar serpihan tayar terbabit kerana tidak mampu menukar lorong.

"Walaupun serpihan itu kecil namun bahagian hadapan kereta saya rosak teruk," kata pengusaha butik fesyen jenama Dokoh.

Mohamad Ismarudin Ismail, 25, kerugian lebih RM3,000 apabila keretanya terlanggar serpihan tayar celup di Kilometer 47.4 Lebuhraya Utara Selatan ketika dalam perjalanan ke Melaka pada 1 Februari lalu.

"Saya dan rakan dalam perjalanan dari Johor ke Melaka sebelum dikejutkan sebuah kereta menukar lorong secara tiba-tiba. Rupa-rupanya pemandu terbabit cuba mengelak serpihan tayar.


BAHAGIAN hadapan kereta Ismarudin rosak akibat terbabas kemalangan selepas terlanggar serpihan tayar di lebuh raya.

"Saya yang mengekorinya terlanggar serpihan terbabit menyebabkan bahagian hadapan rosak. Selepas saya, sebuah lagi kereta turut mengalami kerosakan akibat kejadian sama," katanya.

Pengguna lebuh raya, Hazliza Hassan, 47, berkata bahagian hadapan kereta dipandu suaminya pecah apabila merempuh serpihan tayar di Lebuhraya Utara Selatan dekat R&R Tapah pada 15 Mac lalu.

"Keadaan gelap dan kami berada di lorong kanan pada kelajuan sekitar 110 kilometer sejam sebelum menyedari serpihan tayar tetapi suami tidak sempat mengelak kerana khuatir terbabas ke pembahagi jalan.

"Suami sempat bertakbir sebelum merempuh objek itu dan akibatnya bampar depan kereta pecah. Kami kerugian RM1,070 untuk menggantikannya," katanya yang turut membuat tuntutan kepada PLUS tetapi belum ada jawapan.

INFO:

# Harga tayar celup 'Retreaded Pneumatic' - RM700-RM800 - Hayat 40,000 kilometer

# Harga tayar original 'Pneumatic' - RM1,200 - RM1,600 - Hayat 50,000-60,000 kilometer

55 dibaca
Berita Harian X