Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:00am
PENJAGAAN kuku kaki mencerminkan kebersihan diri.

Kuku kaki imej diri

PENJAGAAN rapi kuku kaki melambangkan tahap kebersihan diri seperti anda memberikan tumpuan kepada wajah yang perlu kelihatan cantik dan berseri.

Namun, kadangkala tabiat manusia boleh membawa kerosakan dan kecederaan kuku kaki tanpa disedari, hinggakan ada segelintir wanita melihat penjagaan kuku seperti kerja remeh, khususnya mereka yang menjalani gaya hidup sibuk.

Hakikatnya, penjagaan kuku kaki boleh dilakukan sendiri di rumah pada bila-bila masa dan ia tidak sukar sekiranya anda mempunyai kelengkapan penjagaan kuku di samping tahu penggunaan teknik betul untuk hasil penjagaan memuaskan.

Jika anda antara individu gemar mewarnakan kuku, boleh juga lakukannya sendiri. Malah, boleh mewarnakan kuku dengan cara menarik, jimat dan mudah menerusi beberapa kaedah menghias supaya tampak cantik menawan tanpa mengabaikan kebersihan serta kesihatan kuku itu sendiri.

RENDAM kaki selama 10 hingga 20 minit.

Luangkan waktu

Sesekali luangkan waktu, merendam kuku pada air hangat dicampur dengan bahan boleh diambil dari dapur rumah anda seperti garam, lemon, minyak zaitun ataupun sabun dan minyak bayi untuk mendapatkan hasil kuku kaki bersih, kulit kaki lembut, sekali gus mengurangkan kelesuan kaki.

Lakukan pembersihan dengan menggunakan berus lembut di sekitar kawasan kuku. Lalu, bilas dengan air bersih dan keringkan. Memotong kuku sebaiknya dalam keadaan kuku selepas tangan dicuci terlebih dulu.

Berikut adalah lima langkah mudah yang boleh diamalkan anda sendiri di rumah untuk mendapatkan hasil kuku kaki yang bebas daripada masalah kulat, malah bersih, sihat dan bebas bau.

1. Tanggalkan pewarna kuku

Sekiranya anda mengenakan pewarna kuku, bersihkan dulu kuku kaki anda dengan penghilang cat kuku.

2. Rendam kaki selama 10 hingga 20 minit

Isikan baldi dengan air suam cukup sekadar paras menutupi pergelangan kaki anda. Tambahkan garam sebanyak setengah cawan kecil.

Garam dapat hilangkan kesan kotoran dalam kuku dan membasmi kuman. Anda juga boleh tambahkan jus lemon untuk kesan lebih efektif.

Penggunaan minyak pati seperti lavendar juga dapat membantu kaki anda rehat daripada kelesuan dan mengembalikan kesegaran kuku dan kulit kaki.

3. Potong kuku

Gunakan pemotong kuku yang tajam dan baharu. Pastikan anda memotong kuku kaki lurus dan tidak biarkan ia melebihi hujung isi kuku kaki anda.

4. Berikan kelembapan pada kuku

Sapukan krim khusus untuk kutikel kuku kaki anda. Boleh juga gunakan minyak bayi untuk membuang sisa kulit dan kuku.

Sapuan perlulah dilakukan secara perlahan-lahan dengan urutan lembut mengelilingi kuku. Sekiranya anda menggunakan lulur, jangan gosok kawasan kuku kaki terlalu kuat kerana khuatir akan terluka.

5. Pelembap

Selesai membersihkan kuku, gunakan tuala lembut untuk mengelap kaki dan kesat kuku kaki anda secara perlahan.Sapukan pelembap khusus untuk kulit kaki.

TANGGALKAN pewarna kuku.

Info

Keperluan bahan rawatan kuku kaki di rumah

  • Pemotong kuku
  • Minyak kutikel atau krim atau minyak bayi
  • Baldi kecil
  • Pupur kaki pengasah kulit mati
  • Tuala
  • Losen pelembap (bergantung pada individu)

Penjagaan kuku

  • Potong kuku mengikut bentuk lingkar hujung jari.
  • Hindari memotong kuku terlalu pendek dan melukai hujung jari.
  • Lakukan perawatan kuku secara teratur.
  • Bersihkan cat kuku dengan betul, agar permukaan kuku tidak menjadi kusam.
  • Bagi yang bekerja di bawah sinar matahari terik dan mudah berpeluh pada kaki, gunakan pelapik atau stoking kaki dari material serap peluh seperti kapas dan kasut tidak terlalu sempit.
  • Pada waktu rehat, buka kasut untuk memberi kesempatan kaki bebas daripada udara lembap.
  • Apabila membersihkan kuku kaki, jangan korek dengan alat yang tidak bersih hingga hujung bahagian bawah kuku ke dalam, kerana apabila luka lembap ia berpotensi menjadi sarang untuk kuman atau kulat kuku membiak.
  • Pengambilan vitamin A, B dan kalsium membantu mengekalkan kesihatan kuku.
Berita Harian X