Khamis, 26 Mei 2016 | 7:11pm
Orang ramai melihat kemalangan dilokasi kejadian melibatkan tiga buah kenderaan membabitkan enam mangsa di Kg Andus, Papar. - Foto ihsan Bomba

4 maut, 2 cedera kemalangan di Papar


Anggota bomba berada dilokasi kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan membabitkan enam mangsa di Kg Andus, Papar. - Foto ihsan Pembaca

PAPAR: Empat maut manakala dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun selepas sebuah van mini bertembung dengan lori di Kilometer 7, Jalan Papar-Beaufort, dekat sini, pagi tadi.

Mereka yang maut dalam nahas itu jam 6.40 pagi ialah pemandu van mini dikenali sebagai Freddy Abeii, 20; dua penumpang warga Indonesia yang dikenali sebagai Kasmawati Ibrahim, 47 dan Fatimah Harris, 30 serta pemandu lori yang dikenali sebagai Ibert Kinsui, 45.

Semua mangsa cedera parah di kepala dan anggota badan dengan pemandu kedua-dua kenderaan dilaporkan mati di tempat kejadian, manakala dua penumpang wanita van berkenaan mati ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Papar.

Sementara itu, mangsa kanak-kanak dikenali sebagai Mohd Akil Afandi Jumadi, 3, iaitu anak Kasmawati dilaporkan cedera parah di kepala dan dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Seorang lagi yang cedera ialah penumpang mini van yang juga pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni, di sini, dikenali sebagai Nurhazirah Mattali, 19, dihantar ke Hospital Papar.

Dalam kejadian itu, pemandu lori yang datang dari arah pekan Papar dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkannya masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan van mini terbabit.

"Pertembungan itu menyebabkan van mini yang dalam perjalanan dari arah Kimanis ke pekan Papar remuk dan pemandu serta semua penumpang mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu turut membabitkan dua kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser yang dilanggar dan bergesel dengan lori terbabit namun pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Berita Harian X