Khamis, 26 Mei 2016 | 1:22pm

Duterte mohon maaf kepada PM Kanada

RODRIGO Duterte. - Foto AFP

MANILA: Presiden Filipina yang dipilih, Rodrigo Duterte memohon maaf kepada Perdana Menteri Kanada berikutan insiden warga negara itu dipenggal kumpulan militan Islam, sambil berjanji ia tidak berulang lagi.

Duterte, 71, yang masih belum diisytihar pemenang pilihan raya 9 Mei lalu, tetapi dengan undian rasmi lebih enam juta mendahului pencabar terdekat, sebahagiannya kerana kempen untuk menghancurkan jenayah, rasuah dan penyalahgunaan dadah.

"Tolong maafkan saya atas kejadian yang mengakibatkan seorang rakyat anda terbunuh," kata Duterte kepada Perdana Menteri, Justin Trudeau, Khamis lalu yang menghubunginya untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan dalam pilihan raya itu.

Warga Kanada, John Ridsdel, seorang bekas eksekutif perlombongan, dipancung oleh Abu Sayyaf di selatan Pulau Jolo pada 25 April lalu, pembunuhan yang disifatkan Trudeau sebagai "pembunuhan yang sangat kejam."

Seorang lagi rakyat Kanada, Norway dan seorang wanita Filipina masih ditahan oleh kumpulan militan al-Qaeda lapan bulan selepas mereka diculik di sebuah resort mewah berhampiran Davao City, bandar di mana Duterte menjadi Datuk Bandar selama dua dekad.

Abu Sayyaf memberi tempoh sehingga jam 3 petang 13 Jun ini kepada kerajaan Filipina dan Kanada serta keluarga tebusan untuk membayar 300 juta peso (RM26.2 juta) untuk membebaskan setiap tawanan.

Abu Sayyaf turut menahan warga asing lain termasuk seorang dari Belanda, Jepun dan empat krew bot tunda Malaysia. - REUTERS

Berita Harian X