Khamis, 26 Mei 2016 | 1:17pm

3 maut, 2 parah nahas di Papar


ORANG ramai melihat kemalangan di lokasi kejadian melibatkan tiga buah kenderaan membabitkan enam mangsa di Kampung Andus, Papar. - Foto Ihsan Bomba

PAPAR: Tiga maut dan dua parah akibat kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan jenis van, lori dan pacuan empat roda di Jalan Papar-Beaufort dekat Kampung Andus, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, tiga wanita dan dua lelaki, termasuk seorang kanak-kanak tersepit dalam van dan lori dipercayai akibat pertembungan di antara kedua-dua kenderaan.

Anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Papar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Dunstan Peter, berkata enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.43 pagi.

"Semua mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan pada jam 7.41 pagi dan dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X