Khamis, 26 Mei 2016 | 10:33am

21 pendatang tanpa izin ditahan di Tawau


ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam satu serbuan Ops Bersepadu Jabatan Imigresen bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sekitar daerah Tawau. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen

TAWAU: Jabatan Imigresen Tawau menahan 21 pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), dekat sini, petang semalam.

Penahanan itu dibuat dalam sekatan jalan raya di Jalan Dumpas dan Jalan Merotai.

Ketua Jabatan Imigresen Tawau, Noraini Rasi, berkata mereka adalah sebahagian daripada 97 individu yang diperiksa dalam operasi selama empat jam bermula jam 2.30 hingga jam 6.30 petang.

"Mereka ditahan adalah 10 lelaki dan 11 wanita berumur antara 15 hingga 55 tahun atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah.

Katanya, operasi mengesan pendatang tanpa izin akan diteruskan bagi memastikan usaha membanteras kehadiran golongan berkenaan di daerah ini dapat dicapai.

Berita Harian X