Rabu, 25 Mei 2016 | 6:23pm

Kontraktor cedera peha kiri ditembak penjenayah


PDRM logo

PETALING JAYA: Seorang kontraktor parah peha kiri selepas ditembak dengan pistol oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam satu kejadian di hadapan sebuah tadika di Jalan Selangor, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 41 tahun baru keluar kereta Perodua Kembara dipandunya untuk mengambil anaknya pulang dari tadika berkenan sebelum ditembak dengan dua das tembakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata satu das tembakan tersasar manakala sedas lagi mengenai peha kirinya sebelum suspek melarikan diri.

"Sejurus terkena tembakan, suspek masih mampu mengambil anaknya dan memandu ke PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) untuk mendapatkan rawatan, sebelum menghubungi isterinya.

"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan siasatan kini dijalankan bagi mengesan suspek dan motif serangan," katanya pada sidang media di sini, tadi.

Dalam perkembangan lain, satu geng curi barang dalam pasar raya di daerah ini tumpas dengan penahanan lapan individu di sebuah rumah inap desa di Bandar Botanik, Klang dekat sini, 12 Mei lalu.

Tangkapan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu dibuat susulan siasatan kes kecurian di sebuah pasar raya di sini, akhir bulan lalu.

Mohd Zani berkata penahanan kesemua suspek itu dibuat selepas polis menahan sebuah Perodua Alza dinaiki tiga orang di hadapan homestay berkenaan.

"Susulan tangkapan itu, kita periksa homestay berkenaan dan tahan lagi lima rakan subahat mereka. Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an, terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita.

"Antara barang yang dicuri adalah susu formula bayi, vitamin, alat kosmetik dan pelbagai lagi barang yang mudah disorok dalam beg atau diselitkan di celah kelangkang dan dalam pakaian mereka," katanya lagi.

Katanya, geng ini turut dikesan aktif melakukan kegiatan itu di beberapa daerah lain antaranya Sentul, Klang Selatan, Shah Alam dan Sungai Buloh.

Berita Harian X