Rabu, 25 Mei 2016 | 4:40pm
Bazar Ramadan.

Peniaga jamin harga juadah berbuka puasa berpatutan

KUANTAN: Seramai 1,700 peniaga bazar Ramadan di sini, memberi jaminan menjual juadah berbuka puasa dengan harga berpatutan dan mengutamakan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

Seorang peniaga makanan, Saza Mohammad Don, 49, berkata kebersihan adalah aspek paling penting baginya dalam penyediaan lauk-pauk ketika berniaga di bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Makmur, di sini.

"Saya berjanji mengutamakan tahap kebersihan dan harga makanan juga tidak membebankan pengguna. Saya akan tinjau dulu harga di kedai makan, barulah saya letakkan harga makanan saya.

"Saya akan pastikan lauk-pauk dijual di gerai saya tidak membebankan pengguna dan berkualiti serta sedap dimakan," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat dan penyerahan permit perniagaan Bazar Ramadan, di sini, hari ini.

Peniaga nasi minyak dan nasi lemak, Mohd Zulhanafi Mohd Yasin, 28, pula akan memastikan nasi dijual di gerainya kekal pada harga sama.

"Saya berniaga di bazar Ramadan sejak lima tahun lalu dan harga nasi dijual adalah sama. Yang paling mahal hanya RM5.50 iaitu nasi kukus dengan ayam, manakala nasi minyak dan nasi lemak ayam masih dijual dengan harga RM4 sebungkus," katanya yang mendapat gerai di bazar Ramadan Taman Kerang, di sini.

Peniaga kuih-muih, Nor Amira Mohd Azaman, 24, berkata pada tahun ini dia menurunkan harga 15 jenis kuih dijual di gerainya di Taman Tas.

"Sebelum ini saya menjual RM3 sebekas, namun pada tahun ini harganya hanya RM2. Walaupun kenaikan harga bahan mentah memberi kesan kepada peniaga, namun saya tetap turunkan harga untuk memastikan pembeli tidak terbeban," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh berkata, beliau mengingatkan peniaga bazar Ramadan di daerah ini supaya mengekalkan tahap kebersihan di gerai bagi mengelak berlaku keracunan makanan.

"Walaupun tahap kebersihan di bazar Ramadan dan peniaga memuaskan sebelum ini, MPK dan Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa turun padang memastikan tiada kes keracunan makanan dilaporkan," katanya.

Berita Harian X