Rabu, 25 Mei 2016 | 8:16am
NOVAK Djokovic. - Foto REUTERS
SERENA Williams. - Foto REUTERS

Terbuka Perancis: Kerber tumpas, Djokovic, Serena mara

PARIS: Novak Djokovic yang dalam buruan meraih gelaran sulung di Terbuka Perancis, mencatat kemenangan selesa manakala Serena Williams melangkah mudah memulakan aksi mempertahankan kejuaraannya pada pusingan awal di Roland Garros.

Namun nasib berbeza pula buat juara Terbuka Australia yang juga pilihan ketiga kejohanan, Angelique Kerber yang tumpas mengejut kepada pemain Belanda, Kiki Bertens 6-2, 3-6, 6-3.

Djokovic yang sudah tiga kali mara ke final Roland Garros, tidak diberi tentangan sengit oleh lawannya dari Taiwan, Lu Yen-Hsun yang juga pemain nombor 95 dunia dengan keputusan, 6-4, 6-1, 6-1.

Pemain Serbia itu hanya memerlukan 90 minit di Gelanggang Phillipe Chatrier bagi menempah tiket ke pusingan kedua untuk bertemu pemain Belgium, Steve Darcis yang mara daripada pusingan kelayakan.

"Apa pun, set kedua dan ketiga adalah sangat bagus. Saya rasa saya memperoleh rentak saya.

"Set pertama ada turun naiknya. Tetapi saya mengambilnya sebagai perkara positif, dan saya berharap prestasi saya semakin baik sepanjang kejohanan berlangsung," kata Djokovic.

Serena pula hanya memerlukan 42 minit untuk membenam Magdalena Rybarikova dari Slovakia dengan 6-2, 6-0 apabila pemain Amerika Syarikat itu sedang mengumpul satu lagi gelaran bagi dia menyamai rekod Steffi Graf dengan 22 kejayaan Grand Slam.

"Hari ini adalah hebat buat saya. Saya berharap saya dapat terus bermain seperti hari ini, ia hanya pusingan pertama. Saya harap saya memenangi enam lagi perlawanan," kata Williams yang bercakap dalam bahasa Perancis.

Andy Murray kembali bangkit selepas ketinggalan dua set bagi menewaskan Radek Stepanek yang berumur 37 tahun dengan 3-6, 3-6, 6-0, 6-3, 7-5 dalam perlawanan yang berlangsung dalam tempoh tiga jam 41 minit. - AFP

Berita Harian X