Rabu, 25 Mei 2016 | 7:49am

Mourinho semakin hampir bimbing United


JOSE Mourinho. - Foto REUTERS

LONDON: Kelab bola sepak terbesar Inggeris, Manchester United tampak semakin hampir untuk mendapatkan khidmat Jose Mourinho apabila sudah mencapai persetujuan dengan terma ditetapkan, menurut laporan Sky TV.

Pengendali itu yang merakam banyak kejayaan bersama Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid, kini bersedia menggantikan rakan sejawat dari Belanda, Louis van Gaal yang ditamatkan perkhidmatan Isnin lalu.

Mourinho diharap mampu mengembalikan kegemilangan United ketika di bawah kendalian Alex Ferguson yang pernah menjadi seteru tradisinya ketika pengendali dari Portugal itu bersama Chelsea.

Pengendali 53 tahun itu, yang dipecat Chelsea Disember lalu selepas hanya tujuh bulan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketiganya bersama kelab London itu, sering dikaitkan dengan United apabila Van Gaal dilihat bergelut membuktikan kemampuannya di Old Trafford.

Van Gaal bagaimanapun lebih malang apabila dipecat hanya dua hari selepas menamatkan kemarau 12 tahun United dalam kancah Piala FA selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 pada final di Wembley Sabtu lalu.

Bagaimanapun kedudukan pembantu Van Gaal, Ryan Giggs masih menjadi tanda tanya dengan legenda 42 tahun United itu dikatakan tidak akan menerima tawaran lebih rendah daripada jawatan sebelum ini. - Agensi

Berita Harian X